PENGALAMAN BREASTFEEDING

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, seronoknya kalau kita sebagai ibu ni dapat menyusukan anak secara terus atau dalam bahasa penyusuan ‘direct feeding’(DF). Seperti kebiasaan bakal-bakal ibu lain juga… saya sebenarnya sangat mengimpikan dapat memberi yang terbaik buat anak-anak saya sendiri. Ketika mengetahui diri saya telah disahkan mengandung saya sememangnya berniat agar dapat menyusukan anak saya  sepenuhnya sehingga umurnya 2 tahun. Cuma perancangan Allah dan perancangan saya tidak sama.

Sebaik lahir Nabihah Insyirah, saya terus menyusukan dia walaupun pada mulanya saya hampir demam mengalami bengkak susu akibat susu sukar sedikit untuk keluar. Sememangnya, saya sungguh bertuah kerana umi saya sendiri pandai mengurut dan boleh dikatakan semua masalah berkaitan urat, terseliuh, ibu berpantang, ibu mabuk mengandung, bengkak susu dan sebagainya dia berjaya selesaikan.

Dengan berkat urutan umi saya dan tunjuk ajarnya saya mampu menyusukan anak pertama sepenuhnya dalam masa 6 bulan pertama tanpa sedikitpun campur dengan susu formula. Saya berpantang sama seperti ibu-ibu lain cuma cara umi saya mungkin ada bezanya dengan mereka yang lain. Saya perlu minum air rendaman daun inai segelas sehari, selama 3 hari berturut-turut untuk percepatkan luka jahitan episiotomy kering kerana jahitan tersebut agak  banyak kerana silap cara semasa meneran. Kemudian, saya akan berurut dan berbengkung cara lilit jawa kerana umi saya sendiri adalah berketurunan jawa.

Cara pemakanan saya semasa dalam pantang sangat dititikberatkan oleh umi kerana dari makanan terhasil susu ibu yang lebih baik, pekat dan banyak. Nasi, sayur dan lauk adalah menu lengkap saya setiap hari samada sayur dikukus, direbus atau dimasak air. Lauk ikan juga begitu samada dibakar atau direbus singgang. Makanan yang gatal, bergoreng dan berminyak dielakkan sama sekali.

Pada minggu ke-3 berpantang barulah saya dibenarkan menjamah ayam, kicap, dan pelbagai jenis ikan. Setiap pagi dan malam saya mesti ambil susu dan milo sebagai menambah tenaga. Kadangkala, menu saya terdapat juga tauhu jepun yang memiliki khasiat yang baik dalam membantu memekatkan dan perbanyakkan susu ibu.

Alhamdulillah, dalam masa 40 hari berpantang susu badan saya semakin banyak mengikut keperluan Nabihah Insyirah. Hingga saya perlu naik kerja pada hari ke-60 saya akan pam setiap 3 jam dan stok susu mencukupi untuk 2 minggu minum. Hampir sebulan saya menghantar Nabihah Insyirah di rumah pengasuh setiap kali bekerja saya akan bekalkan 3 botol susu beku dan 1 botol susu dari chiller.

Tapi pengasuh saya pula disahkan mengandung anak ke-3 dan mengalami mabuk yang agak teruk. Saya terpaksa meminta pertolongan umi saya dan Nabihah Insyirah dijaga oleh umi di Temerloh, Pahang. Sedih memang tak boleh nak cakap masa tu sebab saya menyusukan dia sepenuhnya. Sepanjang dia di Temerloh, Pahang hampir setiap malam saya menangis. Emosi walaupun tak begitu stabil, susu saya masih banyak dan saya teruskan mengepam hingga hampir 25-30 oz seminggu.

Saya akan balik ke kampung setiap minggu bawa stok susu beku sepenuhnya. Alhamdulillah, 6 bulan pertama saya berjaya susukan dia sepenuhnya dengan susu ibu dan selepas itu saya terpaksa campur sedikit kerana Nabihah Insyirah dah boleh makan solid food dan dia agak kuat menyusu.

Semangat saya memang tak pernah putus untuk anak saya sebab saya dah berniat untuk susukan dia hingga usianya 2 tahun dengan susu saya. Walaupun terpaksa campur susu formula selepas usianya 6 bulan namun dia masih minum susu ibu hingga umurnya 8 bulan sebelum saya terpaksa memutuskan susu ibu untuk Nabihah Insyirah kerana disahkan mengandung anak kedua pada masa itu. Namun, saya teruskan mengepam dan Nabihah Insyirah terus penyususan susu ibu menggunakan botol susu hingga umurnya 12 bulan.


Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita Terkini

CARA URUS SUSU IBU PERAHAN ATAU EBM

Assalamualaikum. Tentu ada ibu-ibu yang dah lupa bagaimana nak uruskan susu ibu perahan bila dah bertahun jarak antara anak pertama den...