PAM SUSU DAN KEPENTINGANNYA

Assalamualaikum.


Kredit to en. google

Gajet yang paling penting dalam menjayakan penyusuan susu ibu adalah pam susu atau biasa dikenali sebagai ‘Breast Pump’. Tidak kira samada awak semua ni bekerjaya ataupun hanya suri rumah sepenuh masa sahaja, pam susu wajib ada satu!

Sebelum bersalin saya tidak menitikberatkan tentang jenis pam susu ni sebab pada saya semuanya sama. Namun, ternyata tanggapan saya salah! Pemilihan pam susu adalah penting untuk keselesaan kita sendiri sekiranya perlu bergantung dengan pam susu sepenuhnya. Saya telah mengalaminya dan tidak mahu awak semua mengalami nasib serupa macam saya!

Penting untuk kita memilih jenis pam susu yang terbaik dan sesuai dengan citarasa sendiri. Terpulang untuk pilih yang mana satu asalkan keselesaan awak semua terjamin. Saya agak terkilan apabila telah bersalin dan menggunakan pam susu berjenama kurang popular sekarang ni sangat sukar dan membuatkan saya tambah stress.

Akhirnya, terpaksa meminjam pam susu kakak ipar tapi pam susu manual zamannya sangat sukar untuk digunakan dan juga sakit. Hampir nak menangis! Mengenangkan saya perlu buat stok susu sebelum umur bayi saya mencecah sebulan. Tapi sedikit stok pun susah saya nak dapat dengan pam susu yang sedia ada.

Saya tak putus asa… walaupun sukar untuk digunakan, saya belajar juga agar susu boleh keluar lebih banyak dan saya tetap perlu buat stok. Akhirnya, saya dapat buat stok dalam masa dua bulan sebanyak 16 oz. Dengan bekal 16 oz itu saya pulang ke Kuala Lumpur dan untungnya, umi saya juga sanggup untuk ikut ke Kuala Lumpur sebab dia risau akan keadaan saya yang baru sangat lepas hari iaitu 60 hari. Saya masih sukar untuk biasakan diri kerana pertama kali perlu menjaga bayi sekecil 60 hari dengan badan yang masih agak lemah lagi.

Sebelum saya naik kerja Pak Cu saya sebelah abah datang melawat saya dan bayi. Isterinya bagi hadiah untuk saya dan bayi katanya. Sebaik mereka pulang saya terus buka bungkusan dan hampir mengalir air mata sebab tak sangka dapat hadiah pam susu daripada mereka berdua. Sebab sebelum tu saya memang plan untuk beli pam susu baru memandangkan saya perlu bekerja dan perlu buat stok susu setiap minggu.

Ya Allah, rezeki saya dapat pam susu medela harmony. Allah Maha Mendengar!

Saya cuci dan steril pam susu dan terus guna, Alhamdulillah… pam susu jenis Medela Harmony ni sangat mudah dan selesa dengan saya. Stok susu saya terus meningkat dan hampir penuh peti ais. Seronoknya saya masa tu Allah saja yang tau. Selepas dua minggu, umi pun pulang ke kampung dan Nabihah Insyirah dihantar ke rumah pengasuh.

Pam susu ni boleh digunakan secara single atau tandem untuk buat stok. Single bermakna saya hanya menggunakan pam susu untuk mengeluarkan susu atau tandem iaitu menggunakan pam susu serentak ketika bayi saya menyusu. Sebab itulah, semua ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu perlukan pam susu juga walaupun tidak bekerja. Sekiranya anda sibuk melakukan kerja rumah, pam susu boleh membantu memudahkan kerja anda. Awak semua boleh pam dan buat stok untuk simpan di dalam chiller yang Cuma boleh bertahan selama 3 hari. Dalam keadaan awak semua terlalu banyak kerja rumah atau terpaksa meninggalkan bayi kerana urusan tertentu di luar, bayi boleh menggunakan susu yang disimpan di chiller.

Kadangkala, menyusukan anak ni memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Awak semua juga boleh mengalami bengkak susu sekiranya bayi menolak untuk disusukan. Pam susu sangat berguna ketika ini selain teknik marmet. Bengkak susu boleh berlaku bila-bila masa sahaja tau! Sedangkan anak kedua saya yang kini sudah hampir 2 tahun pun saya kadangkala mengalami bengkak susu. Pam susu mampu membantu mengeluarkan susu dan melegakan kesakitan. Walaupun awak boleh gunakan teknik marmet, tapi sebaiknya guna pam susu dulu dan disudahi dengan teknik marmet untuk mengeluarkan saki baki susu yang ada.


Bayi kadangkala mengalami gatal gusi dan sebagainya, gusi yang tajam boleh menggigit susu ibu dan mengakibatkan melecet dan mengalami luka. Apabila bahagian susu ibu luka, pam susu amat membantu mengurangkan kesakitan kerana sedutannya kita boleh kawal berbanding hisapan bayi. Selebihnya awak semua boleh sapukan air susu yang bersisa di tempat yang mengalami melecet atau luka itu. Insha Allah, luka tersebut akan cepat kering.

Bagi sesetengah ibu yang mengalami masalah puting susu tidak timbul juga digalakkan mengepam. Menggunakan pam susu bagi merangsang pengeluaran susu dan puting susu agar timbul. Kita semua sedia maklum, masalah yang dihadapi oleh ibu-ibu selepas bersalin adalah berbeza-beza. Dengan adanya bantuan pam susu, ibu-ibu dapat mengurangkan stress dan keletihan, akibat masalah dari segi penyusuan yang tidak berjalan dengan lancar!

Saya harap post saya ni memberi manfaat buat ibu-ibu dan semua bakal ibu diluar sana. Semoga kalian berjaya meneruskan perjuangan menyusukan bayi sendiri hingga cukup umurnya 2 tahun. Amiin.

Sekian.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita Terkini

CARA URUS SUSU IBU PERAHAN ATAU EBM

Assalamualaikum. Tentu ada ibu-ibu yang dah lupa bagaimana nak uruskan susu ibu perahan bila dah bertahun jarak antara anak pertama den...