KISAH BUAH MELAKA

Assalamualaikum.



Alhamdulillah, dapat juga buat buah melaka tapi maaflah sebab buah melaka tak cukup lengkap... botak pulak! 

Maklumlah, bila duduk bandar dengan anak-anak kecik ni kadang tu kalau nak masak, gunakan ajelah apapun barang yang ada janji rasanya tu sama. Sebenarnya, taknak anak-anak makan kelapa tu risau kerawit pulak perut bebudak. Kisahnya, saya malas nak turun ke kedai kat bawah rumah maklumlah bertingkek-tingkek! Dengan nak mengheret anak-anak saya berdua ni ke sana-sini sebab ramai sangat pendatang asing di kawasan rumah ni. 

Memandangkan dalam peti ais ada tersimpan daun pandan, gula kabung dan hubby pun dah beli tepung pulut saya cuba jugalah membuatnya. Saya sebenarnya sangat malas nak buat kuih-muih sebab renyah dan banyak kerja berbanding masak-memasak nasi dan lauk-pauk. Kalau bab menguli dan selesaikan doh kuih saya boleh hold 2 - 3 hari simpan dalam peti ais. Punyalah saya muak nak menghadap semua tu.

Berbeza dengan umi saya, dia lagi gemar membuat pelbagai kuih-muih! Bermacam jenis mampu dibuatnya dari yang goreng, kukus dan bakar semua dia pakar. Lebih-lebih lagi bila menjelang bulan ramadhan memang hampir setiap hari ada sahaja sejenis kuih-muih atas meja makan untuk juadah berbuka.

Buah melaka ini mengingatkan saya tentang cerita umi setiap kali kami di dapur untuk membuatnya, umi mesti bercerita tentang suatu kisah sadis yang berlaku di bulan ramadhan. Seperti biasa, bulan ramadhan ni sememangnya orang-orang kampung gemar menyediakan juadah kuih-muih sebagai juadah berbuka.

Seorang Imam Masjid di kampung sekian menjadi kebiasaannya berbuka di Masjid di kampung tersebut. Imam ini begitu meminati buah melaka, jika beliau terjumpa buah melaka, kuih itulah yang akan menjadi santapannya dulu berbanding kuih yang lain. Kebetulan, menu juadah berbuka di Masjid tersebut adalah buah melaka, maka Imam ini begitu teruja dan terus menyuap buah melaka yang dibuat bulat-bulat sebesar biji guli.

Namun, beberapa minit kemudian Imam tersebut mengalami sesak nafas ketika sedang menyumbat buah melaka ke dalam mulutnya! Akhirnya, beliau meninggal dunia di Masjid tersebut dengan mulut dipenuhi buah melaka.

Menurut doktor yang memeriksanya, Imam tersebut meninggal dunia akibat tercekik buah melaka ketika beliau sedang enak memakannya. Apapun, sudah ajalnya Imam tersebut meninggal dunia dengan cara begitu. Namun, saya sentiasa teringat akan cerita umi hingga kini, setiap kali melihat hidangan buah melaka mesti saya akan mengingati kisah tersebut. Semoga Imam tersebut tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan para solehin.

Yalah, buah melaka ni kan liat-liat sebab dibuat menggunakan tepung pulut, jadinya saya perlu memakannya dengan berhati-hati selain nak menjaga air gula didalamnya supaya tidak tumpah! Kali ni first time anak-anak makan, jadi memang kena pantau sebab takut jadi kes tercekik pulak. 

Sekian.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita Terkini

CARA URUS SUSU IBU PERAHAN ATAU EBM

Assalamualaikum. Tentu ada ibu-ibu yang dah lupa bagaimana nak uruskan susu ibu perahan bila dah bertahun jarak antara anak pertama den...