BAYI SUKAR SENDAWA DAN KERAP JELUAK

Assalamualaikum.


Sejak menimang cahaya mata pertama, banyak perkara baru yang saya mesti belajar dalam hidup. Sebagai ibu, seharusnya belajar tentang tabiat bayi adalah perkara paling penting. Walaupun agak sukar kerana bayi tidak boleh bercakap, bayi cuma boleh berinteraksi dengan kita melalui tangisan dan tabiatnya setiap hari, namun saya suka bertanya umi saya pelbagai perkara tentang penjagaan bayi.

Perkara terpenting ketika menyusukan bayi adalah memastikan bayi sendawa selepas menyusu. Banyak kes bayi tersedak susu dan sebagainya kerana penjagaan ibu-ibu yang kadangkala bersikap cuai terhadap bayi sendiri. Keadaan agak rumit jika bayi sukar untuk sendawa dan bayi terus tertidur lena!

Kedua-dua bayi saya juga jenis yang lepas minum susu terus tertidur tak mahu bangun walaupun digerak berkali-kali. Tabiat bayi sememangnya kita sebagai ibu-ibu tak boleh ubah. Umi ajar saya jika bayi berkelakuan begini saya perlu dukung dia di bahu dan usap belakangnya, sekurang-kurangnya beri masa untuk susu turun ke perut. Selepas itu, bolehlah letak dia kembali ke tempat tidurnya.

Kemudian, jika bayi masih tidak sendawa, letak dia dengan cara mengiring ke sebelah kiri atau kanan dan sendal belakang badannya dengan bantal. Dengan cara ini memberi ruang  pada paru-parunya untuk bernafas dengan selesa. Jika bayi tiba-tiba muntah tanpa disedari ibu, bayi masih boleh bernafas dan tidak akan tersedak. Ada juga teknik lain untuk membuatkan bayi sendawa, iaitu meniarapkan bayi di lutut sambil mengusap belakang badannya hingga bayi sendawa. Namun, agak sukar sekiranya bayi sudah tertidur.

Selain sukar untuk sendawa, bayi juga akan mengalami keadaan kerap jeluak. Apa jeluak ni? Jeluak ialah susu yang telah diminum kemudian dalam masa setengah jam atau satu jam bayi akan muntah semula semua susu yang diminumnya.

Biasanya ibu-ibu akan beri susu badan sebaik bayi lahir hingga habis pantang. Samada hendak meneruskan penyusuan selepas itu atau tidak adalah terserah pada diri masing-masing. Selama dalam pantang biasanya ibu-ibu akan makan masakan yang dimasak rebus, kukus dan bakar. Masakan bergoreng boleh dimakan setelah 14 hari berpantang namun tak digalakkan makan kerap dan terlalu berminyak.

Bayi agak senang untuk jeluak sekiranya dia mual dengan makanan yang dimakan oleh ibunya. Jika bayi-bayi saya, mereka akan kerap jeluak jika saya makan lauk ikan tidak kira samada dibakar atau dimasak singgang. Pernah anak yang kedua saya mengalami jeluak sebanyak 2 kali dalam waktu yang terdekat. Risau saya bukan main sebab dia baru lepas minum susu dan lepas setengah jam jeluak. Bila diberi susu lagi dia jeluak lagi.

Jika bayi berkeadaan begitu, terbalikkan bayi dan usap belakangnya. Salin semua pakaian yang terkena muntah dan sapukan minyak angin pada pusat dan belakang badan serta telapak kakinya. Biarkan dia berehat atau jika boleh tidurkan dia. Elakkan memberi bayi susu lagi dalam masa 3 jam pertama kerana dikhuatiri akan terjadi jeluak semula.

Sebenarnya, bayi telah pun kenyang namun disebabkan tabiat bayi yang suka menganga mulut , memasukkan tangan ke mulut dan tercari-cari sesuatu untuk dihisap membuatkan ibu-ibu terfikir bayi mahukan susu. Tabiat bayi sememangnya begitu. Jika bayi mula menangis kuat dan tercari-cari sesuatu ibu-ibu bolehlah terus susukan bayi selepas itu.


So, pastikan juga bayi ibu-ibu berbarut untuk mengelakkan perut bayi masuk angin ya. Sekiranya ingin berjalan jauh pastikan pakaian bayi lengkap, dibarut dan dibedung serta dipakaikan topi untuk menutup kepalanya. Ia adalah salah satu tips untuk mengelakkan bayi terkena angin. Bayi masih dalam hari atau baru beberapa bulan biasanya tubuh badannya masih tidak kuat untuk menempuhi perjalanan jauh, oleh sebab itu ibu-ibu tidak perlu bimbang sekiranya bayi yang telah lengkap dibedung namun masih mengalami jeluak sebaik sampai ke destinasi. Ibu-ibu perlu bersedia sentiasa kerana tubuh bayi masih kecil dan keadaannya lemah untuk menghadapi pelbagai keadaan persekitarannya.

Sekian.

1 ulasan:

  1. tq foe sharing dear.. rasanya x ramai ibu mama ummi diluar sana alert hal ni.

    BalasPadam

Cerita Terkini

KELI MASAK SAMBAL MUDAH DAN RINGKAS

Assalamualaikum. Salam Ramadhan Al-Mubarak!  Hari ni saya nak share sikit makanan kegemaran saya semasa iftar . Kalau tak ada lauk ...