ANAK LAMBAT TUMBUH GIGI… LAMBAT BERJALAN & BERCAKAP ?

Assalamualaikum.




Alhamdulillah, saya masih mempunyai masa untuk mengurai persoalan demi persoalan naluri seorang ibu . Walaupun kadangkala sukar untuk ada masa menulis, namun anak-anak ada masanya gemar bermain sendiri. Asalkan diberi kebenaran menyepahkan rumah, mereka akan bermain sepuas hati!

Trend ibu zaman sekarang suka membanding-bandingkan anaknya dengan anak orang lain sering terjadi di media sosial. Dalam beberapa tahun ini jugalah saya menyaksikan pelbagai luahan suka duka ibubapa yang pelbagai. Malah, bukan sahaja melalui media sosial… jika berbual sesama rakan sekerja, rakan sepermainan, rakan setaman dan sebagainya mesti ada antara ibu-ibu  dan bapa-bapa yang suka buat perbandingan.

Antara perbandingan paling famous adalah tentang anak pandai meniarap, anak tumbuh gigi, anak cepat berjalan, anak bercakap, anak bijak dan bla bla bla…

Sewajarnya, ibubapa tidak perlulah bersikap sedemikian kerana setiap anak dianugerahkan oleh Allah memiliki keistimewaan sifat masing-masing. Bukan sahaja ibubapa, kadangkala ada diantara nenek dan datuk yang suka membuat perbandingan antara cucunya juga. Minta maaf cakaplah, tak berapa bagus bersikap sedemikian kerana kita tahu kebolehan setiap bayi atau kanak-kanak adalah melalui perkembangan mindanya. Kalau cepat, maka cepatlah dia melakukan sesuatu perbuatan mengikut rangsangan mindanya. Jika lambat, maka lambatlah dia melakukan sesuatu yang juga mengikut rangsangan mindanya. Hal ini bukan boleh dipaksa!

Ada juga yang bicara tentang kaitan pemakanan, persekitaran dan pembelajaran dengan perkembangan seseorang bayi dan kanak-kanak ini. Ya, saya juga setuju!

Saya juga memiliki sepasang anak yang berbeza dari segi perangai, sikap, sifat, pertuturan dan sebagainya. Pada saya, totally 100% different! Mungkin kerana seorang perempuan dan seorang lagi lelaki. Menjadikan segala-galanya tentang mereka berbeza, namun bagi saya walaupun mereka sama jantina sekalipun setiap anak-anak itu sememangnya berbeza.

Anak sulung saya perempuan dan anak kedua saya lelaki, kalau dilihat dari segi perkembangan mereka dari sejak lahir hingga sekarang masing-masing telah mencecah umur 3 tahun dan 2 tahun. Perbezaan paling ketara adalah anak sulung cepat bercakap tetapi anak kedua lewat bercakap. Abah saya juga perasan benda yang sama dan dia selalu mengusik Nadeem. Tapi selalunya, umi saya akan menegah dan berkata, “Tak perlu cakap macamtu, budak tu elok je bercakap!” Ya, Nadeem mula bercakap sejak umurnya setahun, tiada apa yang ganjil Cuma Nadeem hanya suka bercakap dalam perkataan yang amat mudah seperti ‘Nak’ dan bahasa lainnya seperti dia merengek saja. Kalau saya lihat pertuturan Nabihah, ketika umurnya setahun ada juga dalam 4-5 perkataan mudah yang dia dah boleh sebut dengan jelas sekali seperti ‘Nak’, ‘Itu’, ‘Abah’, ‘Mama’ dan Tak’.

Awak semua mesti sedang buat perbandingan kan?

Tidak perlu kerana dari segi perkembangannya, Nabihah dan Nadeem tetap sudah boleh bercakap perkataan paling mudah. Mungkin kerana persekitaran membuatkan Nadeem lebih lambat menyebut pelbagai perkataan yang lain kerana saya lebih banyak tertumpu kepada permintaan demi permintaan Nabihah yang memang sudah pandai bercakap kerana beza umur mereka adalah 1 tahun.

Apabila saya sedar yang saya kurang bercakap dengan Nadeem, membuatkan saya terfikir Nadeem kurang rasa ingin menyebut kerana perhatian saya terlebih kepada kakaknya. Kemudian saya lebih banyak bercakap dengan Nadeem dan melihat respon daripadanya. Alhamdulillah, Nadeem nampaknya sudah mula menyebut beberapa perkataan baharu, mula membebel mengikut apa yang saya cakap dan sebagainya.

Hakikatnya, anak-anak perlukan perhatian! Lebih ramai anak, lebih banyak perhatian yang kita perlu beri dan perlu diberi secara sama rata. Kadang-kadang ibubapa tidak melihat dan lambat menyedari hal ini. Bukan saya kata saya lebih teliti, tapi saya agak suka melihat perkembangan anak-anak yang membuatkan saya lebih ingin tahu bagaimana hasilnya jika saya lakukan begini dan begitu. Bukan sekadar untuk bereksperimen tetapi lebih banyak untuk belajar tentang anak-anak.

Saya suka lihat cara mereka, gerak-geri mereka bukan untuk dibandingkan tetapi untuk pembelajaran saya sebagai seorang ibu. Saya terhibur dengan ragam mereka yang pelbagai dan menjadikan mereka begitu unik di mata saya. Apabila saya telah mengetahui gaya, sikap dan sifat mereka menjadikan saya lebih bersedia dan perlu memahami kehendak mereka yang mereka sendiri tak dapat nak ungkapkannya.

Melihat anak-anak orang lain diluar sana, saya melihat mereka membesar dengan pelbagai ragam yang ada ibubapa terlepas pandang kerana kedua-duanya terlampau sibuk bekerjaya. Ada pula yang anak-anak dilahirkan terlalu rapat menyebabkan ada ibubapa yang tidak sempat melihat potensi dalam diri setiap anak-anak. Akhirnya, marah anak-anak bila anak tidak cemerlang belajar atau bersukan. Potensi anak-anak ini luas, bukan dalam hal akademik sahaja tetapi dari semua segi.

Jangan sesekali ada ibubapa yang bersedih dan berkata, anak saya lambat dari anak orang lain… sejak kecil dia lambat tumbuh gigi, lambat berjalan, lambat berlari dan sebagainya. Lambat dari segi pertumbuhan gigi, meniarap, berjalan dan bercakap bukan kerana anak-anak itu tidak bijak dan cemerlang berbanding anak orang lain, sila semak dari segi pemakanan, perhatian dan emosi mereka juga. Ini bukan alasan untuk ibubapa menyalahkan pihak lain kerana sedari kecil, anak-anak telah terdidik dengan ibubapa.

Bila kita menjadi ibubapa bukan sekadar perlu beri anak minum susu, makan, beli baju baru setiap bulan dan hantar ke sekolah terbaik sahaja. Menjadi ibubapa besar tanggungjawabnya dan mereka adalah amanah dari Allah yang tidak ternilai untuk kita semua.

Saya sendiri pernah terfikir tatkala selesai bertarung nyawa melahirkan anak yang pertama. Hati saya hanya terdetik, ‘Bagaimana aku nak besarkan anak ini dan mendidiknya dengan sempurna?’ Kerana saya ibunya, saya dan suami yang akan mendidiknya mengikut acuan kami sendiri. Saya dan suamilah yang perlu menjadi guru pertamanya, idola pertamanya dan segala-gala yang teratas berbanding orang lain!


Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita Terkini

KELI MASAK SAMBAL MUDAH DAN RINGKAS

Assalamualaikum. Salam Ramadhan Al-Mubarak!  Hari ni saya nak share sikit makanan kegemaran saya semasa iftar . Kalau tak ada lauk ...